ikon akar kita zapin

K

FEE HAIQAL
IKON AKAR KITA ZAPIN
MODEL, PELAKON, PENGACARA

Assalamualaikum WBT dan Salam Masyhur Satu Malaysia.

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi ikon SIRI JELAJAH MASYUR 1MALAYSIA ~ AKAR KIRA ZAPIN 2016/2017

Sebagai pendatang baharu dalam industri, dipilih untuk menjadi ikon bagi sebuah acara pentas yang bersifat santai dan menghiburkan adalah satu cabaran besar kepada saya. Pun begitu, berkat sokongan dan dorongan daripada semua, khususnya mentor Jelajah Akar Kita Zapin, Noraniza Idris, dan rakan seperjuangan, Ihab Ismail, saya berazam melaksanakan amanat yang dipertanggungjawabkan ini sebaik mungkin.

Banyak yang perlu dipelajari, terutamanya dalam memperkenalkan kesenian tarian zapin ini kepada khalayak. Susur galurnya perlu ditelusuri, gerak langkahnya perlu dikenali dan iramanya perlu didekati. Mengenali dan mendekati 13 jenis zapin di seluruh Malaysia merupakan inisiatif mempersiapkan diri dengan ilmu pengetahuan. Antaranya Zapin Tenglu, Hanuman, Cemara dan Raub. Ia adalah satu proses pembelajaran dan pengalaman yang sangat bermakna buat saya kerana melaluinya, saya dapat menjejaki akar kita, daripada kesenian zapin yang berkembang menjadi khazanah berharga.

Program pertukaran budaya serumpun dengan negara Brunei, Indonesia dan Singapura juga membuka peluang untuk menambah pengetahuan dan mengeratkan hubungan silaturahim. Semoga hubungan baik ini akan terus terjalin indah dan menyuntik semangat untuk sama-sama memartabatkan budaya serumpun kita.

Penghargaan dan terima kasih tidak terhingga buat seluruh tenaga kerja  SIRI JELAJAH MASYUR 1MALAYSIA ~ AKAR KIRA ZAPIN 2016/2017   yang bersatu hati bekerjasama bagi memastikan acara gilang gemilang ini berlangsung dengan jayanya. Harapan kita memperkenalkan zapin ke peringkat global dan diiktiraf oleh badan warisan dunia adalah cita-cita bersama dan kitalah yang akan menentukannya.

Ke Gerbang Belia Kota Gagasan

fee-haikal8

Nama Penuh :   Mohd Alfeeq Haiqal Bin Mohammad Fauzi
Nama Panggilan :   Fee Haiqal
Umur :   23 Tahun
Tarikh Lahir :   31 Ogos 1993
Tempat Lahir :   Kuala Lumpur
Status :   Bujang
Warganegara :   Malaysia
Agama :   Islam
Pekerjaan :   Fitness Instructor / Freelance Personal Trainer

Pengalaman & Pencapaian

2014
- Terpilih untuk mewakili Kuala Lumpur di dalam program pertandingan Mister Planet Malaysia
- Mendapat tempat ke 5 di dalam Mister Planet Malaysia
- Pengacara di 6 lokasi seluruh Malaysia untuk Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin 2014/2015
- Berlakon di dalam Telemovie: Penakluk Mimpi oleh Global Production House

2015
- Pengacara di 6 lokasi seluruh Malaysia untuk Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015/2016
- Merupakan Ikon Belia & Model bagi program Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015/2016
- 5 tahun pengalaman sebagai Fitness Instructor & Personal Trainer

fee-haikal7

ikon akar kita zapin

GAMBAR IKON IHAB

IHAB ISMAIL
IKON AKAR KITA ZAPIN
PENYANYI, KOMPOSER, PENULIS LIRIK, PENERBIT, PENGACARA

Walaupun saya mempunyai latar belakang kerjaya dalam jurusan akademik dan profesional yang memerlukan fokus serta komitmen tinggi, minat yang begitu mendalam di dalam seni budaya membuatkan saya terpanggil untuk bergerak secara aktif di dalam Sekretariat Masyhur 1 Malaysia menerusi landasan program “Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara”.

Program ini menjadi satu batu loncatan buat saya mengembangkan bakat di dalam bidang seni sekaligus memperkenalkan diri kepada masyarakat sebagai artis baru di bawah naungan syarikat Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd. Ia turut menjadi platform yang ideal untuk saya berkarya dalam penciptaan dan penulisan lagu-lagu bercorak etnik dan tradisional bagi tujuan memeriahkan industri muzik tempatan dengan lagu-lagu berentak budaya. Walaupun lagu-lagu sebegini kurang mendapat perhatian umum mutakhir ini, tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan lagu-lagu tradisional harus berkesinambungan dan saya berbangga menjadi salah seorang daripada penerus di kalangan artis-artis tanahair yang menjadikan lagu-lagu kebudayaan sebagai tunjang perjuangan seninya.

Harapan saya semoga Akar Kita Zapin mampu bangkit sebagai suatu program tahunan berteraskan budaya yang dapat memartabatkan seni tradisi secara amnya dan Zapin secara khususnya agar seiring dengan arus modenisasi dan globalisasi muzik masakini, sekaligus menarik perhatian generasi muda agar minat mereka terhadap seni dan budaya kita membenih dan terus bercambah.

PENGENALAN
Doktor Mohammad Ihab bin Ismail, satu-satunya artis berkerjaya doktor perubatan yang kini berkhidmat di samping melanjutkan pengajian dalam bidang Sarjana Perubatan Dalaman di PPUKM Cheras, berusia 31 tahun pada 6 September 2014 yang lalu, sangat cenderung kepada minat dalam penciptaan lagu , penulisan lirik dan berbakat besar dalam bidang nyanyian lagu-lagu etnik dan tradisional Malaysia.

Merupakan seorang komposer dan penulis lirik serta penerbit dibawah syarikat rakaman Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd , menerusi bimbingan Mentornya, Noraniza Idris, beliau sangat meminati genre ini semenjak di bangku sekolah dan dibesarkan dengan lagu-lagu nyanyian Noraniza Idris sebagai artis idolanya ketika itu. Kini, menerusi platform Akar Kita Zapin,, ikon dan pengacara rasmi Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015, Ihab Ismail mula mengembangkan bakatnya dalam bidang pengacaraan yang turut merujuk kepada Fedtri Yahya sebagai sumber inspirasinya.

Turut tidak melepaskan peluang berganding bahu dalam penciptaan lagu-lagu dan lirik bersama Fedtri Yahya, beliau pernah menyandang kejayaan sebagai Pemenang Anugerah Kategori Ciptaan Lagu Pop Etnik Terbaik AIM20 selain lagu ciptaannya turut pernah mendapat kedudukan carta 10 tangga teratas dalam pertandingan Cipta Lagu Rakyat 2012 dibawah penganjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara.

biodata2

Nama Penuh :   Mohammad Ihab Bin Ismail
Nama Panggilan :   Ihab Ismail
Umur :   33 Tahun
Tarikh Lahir :   6 September 1983
Tempat Lahir :   Kuala Lumpur
Status :   Single
Warganegara :   Malaysia
Agama :   Islam
Pekerjaan :   Doktor Perubatan ,Komposer, Penulis Lirik & Penyanyi

Pengalaman & Pencapaian

2008
Graduan bidang perubatan dari King’s College London, United Kingdom.

2013
Pemenang Kategori Lagu Pop Etnik Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 20:
Lagu – Pahlawan Zafana
- Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 daripada Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu hasil dedikasi dalam perkhidmatan kesihatan serta penglibatan aktifnya dalam lapangan seni, khususnya dalam aktiviti kebudayaan di peringkat kebangsaan

2014
Pemenang Kategori Lagu Pop Etnik Terbaik Anugerah Industri Muzik (AIM) 21:
Lagu – Akar Kita Zapin
Pengacara di 6 lokasi seluruh Malaysia untuk Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin 2014/2015

2015
Pengacara di 6 lokasi seluruh Malaysia untuk Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015/2016
Merupakan Ikon Kerjaya Profesional bagi program Siri Jelajah Merdeka AEON Akar Kita Zapin 2015/2016

biodata3