Sokongan Program

rais-yatim1
kerajaan_malaysia1

YBHG. TAN SRI DATO’ SERI DR. RAIS YATIM
PENASIHAT SOSIOBUDAYA KERAJAAN MALAYSIA
PERASMI
MAJLIS PENUTUPAN
EMPAYAR AKAR KITA ZAPIN NUSANTARA 2014
SETERUSNYA MELANCARKAN SIRI JELAJAH EMPAYAR AKAR KITA ZAPIN NUSANTARA 2014

Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada seluruh tenaga kerja pelaksana Siri Empayar Jelajah Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015 kerana telah berjaya membawa satu pembaharuan ke arah memartabatkan budaya tradisional Malaysia dan serumpun. Saya percaya, penglibatan negara-negara Asean dalam acara sebegini berhasil mengetengahkan kesamaan kebudayaan serumpun di samping mengeratkan lagi ikatan silaturrahim yang telah wujud sejak sekian lama. Penyertaan pelbagai pihak termasuk pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi dan orang perseorangan secara eksklusif dalam mempelajari variasi tarian zapin juga menjadi satu penanda aras bahawa budaya kita adalah khazanah yang masih relevan dalam era globalisasi dan kepesatan digital.

Malah, satu kejayaan yang kita dapat lihat bahawa Empayar Jelajah Akar Kita Zapin Nusantara 2014 ini tidak hanya tertumpu kepada perspektif budaya dan seni semata-mata, tetapi juga menekankan pembangunan intelek dan akademik menerusi penganjuran International Zapin Forum Youth Dance Festival – Bright Side of Malaysia. Inilah program yang kita mahukan, hiburan yang mendidik dan membantu negara dalam pembangunan sahsiah, moral  dan intelektual, tanpa mengira perbezaan umur, bangsa dan agama. Kesepakatan dalam berhibur, keceriaan dalam perkongsian.

Sememangnya budaya dan kesenian melambangkan citra bangsa dan negara.  Ibarat lagu dan irama, tak boleh dipisahkan. Tanpa budaya, pincanglah imejbangsa, dan tanpa pewaris, lenyaplah cinta nusa.

Semoga kita menjadi bangsa yang terus teguh berdiri menjunjung budaya dan khazanah warisan bangsa.

TAN SRI DATO’ SERI DR. RAIS YATIM

Generasi berbudaya, bangsa beridentiti.


nazri
kerajaan_malaysia1

YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ
MENTERI PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh tenaga kerja Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015 yang telah berjaya membawakan satu transformasi budaya dalam usaha melonjakkan Zapin sebagai satu produk pelancongan ke arah memartabatkan nama Malaysia ke persada antarabangsa.

Bertepatan dengan Tahun Melawat Malaysia 2014, saya yakin bahawa melalui sokongan yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia kepada pihak penganjur, program ini akan berupaya membawa satu kelainan dan keunikan kepada pelancong sama ada dari dalam negeri dan luar negara dalam mendekati dan menghayati budaya warisan Melayu ini. Semuanya disediakan dalam satu platform, melihat keunikan negara kita, mendekati masyarakat Malaysia, dan seterusnya menyelami akar zapin Melayu.

Zapin boleh dilihat sebagai satu transformasi kebudayaan ke arah membangunkan produk keusahawanan berinovasi dan kreatif yang boleh dikembangkan kepada peluang pekerjaan belia yang menjurus dalam sektor kebudayaan dan pelancongan. Zapin juga adalah satu kekuatan tinggalan tradisi Melayu. Irama, rentak dan langkah tarinya begitu menarik dan mudah diikuti anak-anak remaja masa kini. Saya percaya, siri Jelajah ini akan menjadi satu pendekatan turun padang tanpa mengira darjat, kaum dan sasaran umur.

Ini adalah masanya untuk kita menyokong usaha dan memartabatkan budaya serta kesenian Melayu agar terus bertahta dalam hati masyarakat Malaysia dengan lebih kukuh. Jika kita tidak menghargai sejarah, ibaratnya, sama seperti kita tidak ada budaya. Natijahnya tidak wujud negara yang harmoni dan sejahtera. Oleh yang demikian, kita yang harus mempunyai kesedaran untuk menjaga warisan bangsa ini dan menyokong apa jua usaha ke arah mencapai matlamat yang sama. Budaya Kita, Wajah Kita, Warisan Kita, Bangsa Kita, Negara Malaysia.

DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN ABDUL AZIZ


kerajaan_malaysia1

YB DATO’ SRI AHMAD SHABERY CHEEK
MENTERI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA
KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA

sabery
sabery2

ong
kerajaan_malaysia1

YBHG. DATUK DR. ONG HONG PENG
KETUA SETIAUSAHA
KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA

Selamat sejahtera, salam perpaduan dan Salam Satu Malaysia.

Pertama sekali, syabas dan tahniah kepada Persatuan Tatihseni Malaysia, Persatuan Belia Gagasan dan Noraniza Idris Production Ventures kerana dengan kesungguhan dan kecekalan, akhirnya Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015 dapat dilaksanakan dengan jayanya. Sepertimana yang dimaklumi, tahun ini adalah Tahun Melawat Malaysia 2014. Pelbagai acara telah dirancang di peringkat kementerian, begitu juga agensi-agensi kerajaan. Kita meraikan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara khususnya untuk berkunjung ke Malaysia. Sudah pasti, kehadiran mereka bukan hanya untuk menikmati keindahan bumi Malaysia, tetapi juga keindahan budi bahasa dan keunikan budaya kita. Justeru, penganjuran program sebegini amat kita alu-alukan kerana ia membantu usaha kementerian ke arah menarik minat masyarakat setempat dan antarabangsa untuk mendekati budaya tradisional menerusi program santai dan mesra pengunjung.

Yang pasti, siri jelajah ini juga memberi nafas baharu dalam tarian zapin kerana menerusinya, penganjur berjaya mengetengahkan tarian zapin yang berbeza mengikut negeri. Ini adalah usaha yang perlu disokong ke arah memartabatkan tarian Melayu, dan wajar dicontohi serta diteruskan pada masa akan datang demi kelangsungan budaya dan warisan. Pada masa yang sama, siri jelajah ini merupakan pembuka bicara kepada sambutan Malaysia Year of Festivals 2015 yang akan diadakan pada tahun hadapan. Kami juga turut berbangga dengan usahasama penganjur dengan penggiat seni budaya luar negara, yang menarik penyertaan negara serumpun iaitu Indonesia, Singapura dan Brunei. Terima kasih diucapkan kepada negara-negara ini atas sokongan terhadap penganjuran acara dan pertukaran budaya serumpun ini. Semoga jalinan usahasama ini akan dapat diteruskan dan kita dapat bersatu dalam keharmonian.

DATUK DR. ONG HONG PENG


tengku1

Y.M TENGKU HISHAMMUDDIN ZAIZI BIN Y.A.M TENGKU AZMAN SHAH ALHAJ
PENAUNG
SIRI JELAJAH EMPAYAR AKAR KITA ZAPIN NUSANTARA 2014/2015

Terlebih dahulu, tahniah daripada saya kepada mentor Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015, Noraniza Idris serta seluruh tenaga kerjanya kerana usaha yang bersungguh-sungguh untuk melaksanakan acara ini. Pepatah Melayu ada mengatakan, “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Lalu, kalau tidak diadakan acaranya, manakan tahu bagaimana hasilnya. Sesungguhnya, usaha mengekalkan warisan budaya merupakan tanggungjawab bersama yang harus dipikul oleh setiap individu, masyarakat dan kerajaan.

Terima kasih kepada Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia yang menyambut baik usaha nilai murni ini atas sokongan kepada Persatuan ini menganjurkan program ini dengan jayanya. Semoga sokongan dapat diberikan secara berterusan seiring dengan pelancaran Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2015/2016 untuk pelaksanaan tahun seterusnya sebagai program tahunan yang telah bermula pada 2014 ini.

Dalam pada itu, kempen Inspirasi Gagasan Anak Merdeka yang dilancarkan juga adalah seiring dengan usaha menyokong kempen kibar Jalur Gemilang, di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Kempen ini diperluaskan ke setiap zon seluruh negara dan mensasarkan golongan pelajar yang berbilang kaum. Sudah pasti, ini satu lagi cara untuk mendekatkan generasi muda merdeka agar mereka dapat menzahirkan semangat bebas merdeka menerusi wahana yang pelbagai. Generasi muda hari ini sangat sukakan cabaran, dan menjadi tanggungjawab kita untuk menyediakan ruang dan peluang pada mereka, untuk menimba pelbagai pengalaman, menyemai nilai murni dan menghayati prinsip perpaduan negara.

Justeru, atas nama kesepakatan, kerjasama dan hasrat untuk melihat kelangsungan bangsa Malaysia, saya sangat menyokong usaha murni ini dan akan meletakkan satu matlamat bersama-sama dengan Persatuan Tatihseni, Belia Kota Gagasan serta Noraniza Idris Production Ventures untuk menjadikan program siri jelajah ini dikenali di mata dunia.

Wangian cempaka disapa bayu,
Jatuh berserak gugur dedaun,
Akar kita zapin Melayu,
Subur terbilang bangsa serumpun.


ishak

DATO’ ISHAK BIN HAJI ISMAIL
ADUN LENGGENG NEGERI SEMBILAN

YB DATO’ ISHAK BIN HAJI ISMAIL
PENASIHAT
SIRI JELAJAH EMPAYAR AKAR KITA ZAPIN NUSANTARA 2014/2015

Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah dengan izin-Nya, Siri Empayar Jelajah Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015 dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Jelajah ini telah mula dilaksanakan sejak tahun 2012 dengan matlamatnya untuk menjadikan zapin sebagai salah satu produk pembangunan modal insan secara komprehensif.

Tahun ini, Siri Jelajah Akar Kita Zapin Nusantara telah menjelajah ke enam buah lokasi terpilih yang dibawakan oleh AEON (M) sebagai penaja rasmi. Ia melibatkan 12 buah negeri atau wilayah seluruh Malaysia dengan penyertaan daripada Institusi Pengajian Tinggi, Badan Kebudayaan dan sekolah. Penglibatan sebegini sangat menggembirakan kerana ia membuktikan bahawa generasi muda masih mempunyai minat yang mendalam terhadap budaya warisan bangsa, dan kita masih punya pewaris yang akan meneruskan kelangsungan citra budaya ini. Kita mengharapkan agar lebih banyak penyertaan diperoleh pada masa-masa akan datang demi memartabatkan setiap khazanah budaya yang kita miliki.

Dalam menelusuri akar rumpun bangsa, sudah semestinya adat, budaya dan bahasa menjadi nadi utama yang menunjangi kewujudan dan kelangsungan bangsa dan negara. Ini adalah masanya untuk kita menyokong usaha dan memartabatkan budaya serta kesenian kita agar terus bertahta dalam hati masyarakat Malaysia.

Kain baju sulam bertekat,
Dibawa dagang ke tanah rata,
Zapin Melayu berkias adat,
Budaya tinggalan leluhur bangsa


johari

DATUK JOHARI BIN ABDUL GHANI
AHLI PARLIMEN TITIWANGSA DAN PENGERUSI UDA HOLDINGS

YB DATUK JOHARI BIN ABDUL GHANI
PENASIHAT
SIRI JELAJAH EMPAYAR AKAR KITA ZAPIN NUSANTARA 2014/2015

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Syukur ke hadrat IIlahi dengan limpah dan kurnia-Nya memberikan peluang dan kesempatan untuk kita meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini serta mengurniakan rezeki yang melimpah ruah kepada kita semua.

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Jawatankuasa Penganjur Program Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara di atas usaha dan komitmen yang telah ditunjukkan dalam usaha untuk merealisasikan penganjuran program seumpama ini.

Program Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara (AKZ) dianjurkan bersempena ‘Kempen Kibar Jalur Gemilang’ Kementerian Komunikasi dan Media.  Siri jelajah ini bukan hanya berkonsepkan hiburan semata-mata, malah ia bertujuan untuk menerapkan nilai cintakan negara kita Malaysia yang penuh dengan keistimewaan kepelbagaian budaya masyarakat berbilang kaum.

Tarian zapin merupakan salah satu tarian tradisional masyarakat Melayu.  Asas tarian zapin yang mementingkan pergerakan berkumpulan ini, dilihat dapat membantu memupuk dan mengukuhkan semangat kerjasama serta perpaduan kepada setiap peserta yang mengambil bahagian.

Keistimewaan dan keunikan masyarakat berbilang kaum, dan budaya di negara kita yang perlu terus dipelihara dan dipertahankan kerana faktor inilah yang menjadi elemen penting dalam memupuk perasaan hormat-menghormati dan menerima kepelbagaian.

Saya berharap agar penganjuran seperti ini akan terus diadakan pada tahun-tahun yang akan datang, kerana ia terbukti berjaya bukan sahaja untuk mempromosikan tarian kebudayaan masyarakat Melayu sebagai elemen perpaduan rakyat, tetapi juga membuktikan bahawa rakyat Malaysia hidup aman dan sejahtera.


suhaimi

YBHG. DATUK SUHAIMI MOHD ZAIN

YBHG. DATUK SUHAIMI MOHD ZAIN
PENASIHAT
BAPA IRAMA MALAYSIA
SIRI JELAJAH EMPAYAR AKAR KITA ZAPIN NUSANTARA 2014/2015

Assalamualaikum WBT, Salam Masyhur Satu Malaysia.

Alhamdulillah, syukur kita rafakkan ke hadrat Allah kerana dengan izin-Nya, Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014-2015 telah berlangsung dengan jayanya. Ia adalah kesinambungan daripada hasrat dan cita-cita untuk terus memartabatkan kesenian budaya Melayu ke peringkat global.

Sebagai anak watan yang sama-sama mendukung aspirasi ini, saya turut merasakan tanggungjawab untuk sama-sama berganding bahu demi meneruskan kelangsungan budaya dan irama zapin ini. Muzik yang mengiringi gerak langkah Zapin melayu terdiri daripada beberapa variasi, begitu juga dengan kepelbagaian zapin mengikut negeri masing-masing. Tanpa muzik, pincanglah gerak langkah. Tanpa muzik juga, sepilah kehidupan manusia.
Muzik tradisional juga secara amnya melambangkan sesuatu bangsa selain daripada tujuan hiburan. Walaupun pelbagai genre muzik muncul dan berkembang mengikut peredaran semasa, namun keaslian irama dan muzik tradisional perlu terus dipelihara. Ini kerana kita juga mahu bangsa kita dikenali dengan irama, budaya dan identiti yang tersendiri. Bukan hanya terikut-ikut dengan muzik yang muncul silih berganti.

Kejayaan penganjuran Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara adalah kejayaan yang bukan hanya berpihak kepada pewaris budaya, irama dan seni semata-mata. Bahkan, ia juga kejayaan semua pihak yang sama-sama menyokong usaha penganjurannya. Tidak hanya meraikan Tahun Melawat Malaysia 2014, program ini juga menjadi pemangkin kepada pembangunan produk pelancongan, menjana ekonomi dan melestarikan budaya serumpun menerusi perkongsian budaya dan semangat muhibbah negara serantau.

Akhir kata, tahniah dan setinggi-tinggi penghargaan kepada penganjur atas usaha gigih melaksanakan siri jelajah ini. Semoga usaha ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan menjadi agenda penting dalam usaha memulihara khazanah dan warisan bangsa.


norlaila

PUAN NORLAILA BINTI MOHD SAMIN
SENIOR MANAGER KOMUNIKASI KORPORAT DAN PENJENAMAAN
AEON CO.(M) BHD

aeon

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Syabas dan tahniah kerana atas kesungguhan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi, akhirnya Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin Nusantara 2014/2015 telah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Siri Jelajah Empayar Akar Kita Zapin 2014/2015 ini adalah satu anjakan paradigma dalam usaha mengembalikan kegemilangan warisan kebudayaan Melayu dalam cabaran kepesatan globalisasi masa kini.

Seiring dengan hasrat tersebut, AEON Co. (M) Bhd. juga tidak mahu melepaskan peluang untuk bersama-sama berganding bahu bagi menjayakan usaha memartabatkan khazanah budaya bangsa ini. Ia sebagai tanggungjawab korporat kami dalam melaksanakan khidmat sosial kepada masyarakat, dan negara khususnya. Selain daripada mengekalkan budaya Melayu ini, kami percaya, program ini dapat menjana ekonomi, dan paling penting, dapat membentuk jati diri bangsa Malaysia.

Siri Jelajah ini telah diadakan di seluruh negara mengikut zon dan lokasi AEON yang terpilih. Kemuncaknya diakhiri dengan pertandingan persahabatan Zapin Nusantara yang melibatkan penyertaan Negara Singapura, Brunei dan Indonesia, serta Malaysia sebagai tuan rumah.

Oleh itu, pihak kami sangat berharap agar program ini dapat menjadi salah satu agenda memperkenalkan Malaysia kepada mata dunia umumnya, sebagai sebuah produk yang wajar diikuti oleh masyarakat Malaysia seterusnya diiktiraf oleh UNESCO.

Tunduk layu batangnya padi,
Makin berisi makin disenang,
Adat Melayu menjunjung budi,
Yang dikit dipuji, yang banyak dikenangikenang

Sekalung Penghargaan Atas Sokongan Dan Kerjasama

  1. KEMENTERIAN PELANCONGAN DAN KEBUDAYAAN MALAYSIA
  2. KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA MALAYSIA
  3. KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN
  4. DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
  5. JABATAN KEMAJUAN ORANG ASLI MALAYSIA
  6. JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA
  7. JABATAN PERPADUAN NEGARA DAN INTEGRASI NASIONAL
  8. JABATAN BELIA DAN SUKAN WP KUALA LUMPUR
  9. TOURISM MALAYSIA
  10. AEON (M) BERHAD
  11. STARBUCKS COFFEE
  12. SANGGAR BUDAYA SRI PENGKALAN
  13. BUDAK ZAPIN PRODUCTIONS
  14. PERBADANAN LABUAN
  15. SARAWAK CULTURAL VILLAGE
  16. SEKOLAH SENI MALAYSIA SARAWAK
  17. UNIVERSITI MALAYSIA TERENGGANU
  18. UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG
  19. UNIVERSITI SAINS MALAYSIA
  20. UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
  21. POLITEKNIK MERLIMAU MELAKA
  22. INSTITUT PENDIDIKAN GURU KAMPUS ILMU KHAS
  23. WIRAMA D’TARI JOHOR BAHRU
  24. ROYCE SA’YAN , KOPSTAR.FM
  25. PERDANA 1MALAYSIA
  1. SRI WARISAN SOM SAID PERFORMING ARTS LTD, SINGAPURA
  2. SANGGAR BEDELAU, RIAU INDONESIA
  3. YAYASAN LAKSEMANA, RIAU INDONESIA
  4. PERSATUAN PENGGIAT SENI TANAHAIR BRUNEI (PESTAB)
  5. SMK DESA TUN HUSSEIN ONN
  6. SK. CONVENT (1) BUKIT NANAS
  7. SMK DATO’ IBRAHIM YAACOB
  8. SMK PUTERI, AMPANG
  9. SMK KERAMAT, KUALA LUMPUR
  10. SMK (P) METHODIST KUALA LUMPUR
  11. GABUNGAN PELAJAR  MELAYU SEMENANJUNG, CAW. SETIAWANGSA
  12. SMK BANDAR BARU SENTUL
  13. ASKO PUTRA
  14. YAAKOB BIN AMIR (PENGASAS ZAPIN TENGLU)
  15. HAMZAH BIN ALIAS (PENGASAS ZAPIN RAUB)
  16. PROF DR. HJ MOHD LAHIR BIN HJ MAHRAM (PAKAR RUJUK ZAPIN CEMARA BUGIS)
  17. MAJID BIN RAWINO (PENERUS ZAPIN LENGA)
  18. MUHAMMAD RAZALI BIN CIK HAMID ( PEWARIS ZAPIN HANUMAN KELANTAN)
  19. DIANNA SULAIMAN ( PENERUS ZAPIN SRI BUNIAN)
  20. MOHD THANTHAWI BIN MOHAMAD OSMAN (PENERUS ZAPIN MALAYSIA)
  21. PAKNGAH PRODUCTION SDN BHD
  22. SWATARI
  23. TIARA PESONA
  24. AHLI PARLIMEN SETIAWANGSA